Wednesday, March 10, 2010

WASIAT DARI ALLAH S.W.T. KEPADA RASULULLAH S.A.W

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan
lima wasiat, antaranya :

· Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia
ini untuk engkau.

· Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

· Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

· Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan
mereka.

· Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu
adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada

saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan
kepada kamu 7 perkara, iaitu :

· Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

· Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.

· Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

· Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

· Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

· Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan
agamanya.

· Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."



Monday, March 8, 2010

13 wasiat Rasulullah kepada Ali




RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan
umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan
bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.


Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu
menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.


Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin
dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang
beriman.


Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah,
Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"


1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai
kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain
separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).


2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya
itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.


3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya
tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku,
sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan
Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".


4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka
dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan
muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu
berkat dan kizb (dusta) itu celaka.


5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang
berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di
pintu syurga.


6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali
dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah
tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.


7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah
mendatangkan rezeki engkau setiap hari.


8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan
sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.


9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu
menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat
kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak
dicolek selepas makan.


10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau
dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah
diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.


11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri
engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.


12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri
saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri
saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau
dikasihi seluruh isi langit dan bumi.


13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli
rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan,
nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.


Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.
InsyaAllah



Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing.

Saturday, February 27, 2010

Permata yang hilang-Nasrul Huq

Ketika media massa dan rakyat Malaysia sekarang ini sibuk membahaskan isu membawa pulang ketua Parti Komunis Malaya, iaitu Chin Peng, penulis teringatkan salah satu seni mempertahankan diri atau silat yang telah diharamkan oleh JAKIM iaitu Nasrul Haq. Nasrul Haq diharamkan atas alasan ianya bukanlah dari ajaran Islam. Penulis bukan mempersoalkan kenapa ia diharamkan, tetapi mengikut pandangan otai-otai atau orang lama dalam silat ini mereka masih tertanya-tanya kenapa ia diharamkan pada masa tersebut. Antara persoalan yang timbul adalah silat ini tidak melakukan perkara-perkara yang jelas mencarik adat atau luar biasa seperti berjalan di atas bara api, kebolehan untuk makan kaca, ditetak dengan parang tapi tidak lut, ditanam hidup-hidup tapi tidak mati dan lain-lain. Ironinya silat-silat lain yang jelas terdapat perkara-perkara tersebut tidak pula diharamkan walaupun jelas ianya bukan dari ajaran Islam. Ada di antara orang-orang lama pada masa tersebut juga berpendapat mungkin ia diharamkan oleh sebab-sebab seperti tekanan pihak tertentu? Ada juga yang berpendapat atas faktor politik kerana pada masa silat ini diperkenalkan setiap hari ahli yang mendaftar adalah lebih kurang 2 ribu orang. Bayangkan pengaruh yang diperolehi oleh guru kepada silat ini. Salah seorang Guru Utama silat ini pula adalah menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, iaitu Y.B Tan Sri Haji Abdul Samad Idris. Faktor lain seperti pembawaan segelintir ahli yang belajar silat ini yang menyimpang atau menyalahgunakan silat ini juga tidak dapat dinafikan seperti beribadat hanya untuk mencari hebat.
Berkenaan dengan ancaman komunis pula, ayah penulis merupakan salah seorang ahli pasukan keselamatan yang banyak bercerita mengenai kelebihan silat tersebut. Seingat penulis salah satu baiah atau sumpah ahli silat ini adalah “ Demi Allah, saya bersumpah, bahawa saya, akan ikut mempertahankan Negara ini, dari ancaman komunis dan golongan anti Islam”. Sayangnya, penulis tidak dapat belajar silat ini daripada ayah penulis kerana pada masa itu penulis masih bersekolah dan ayah penulis juga sering masuk hutan untuk operasi melawan pihak komunis. Salah seorang kenalan penulis iaitu Haji Husin iatu seorang anggota polis hutan yang bertugas pada tahun 80an dulu juga banyak bercerita mengenai keberkesanan silat ini semasa beliau menjalankan tugas semasa darurat dulu. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih silat ini.
Sekali lagi penulis menegaskan, penulis bukan mempersoalkan kenapa silat ini diharamkan. Tapi sekiranya bekas komunis atau ejen komunis yang ada di Negara kita mengatakan mereka berjasa kerana membebaskan negara ini dari penjajah, maka penulis juga berhak menyatakan bahawa silat ini juga berjasa di dalam melawan keganasan pengganas komunis di zaman darurat dahulu.
Berikut adalah jurus atau langkah-langkah yang terdapat di dalam Silat Nasrul Haq seingat penulis:
1. Kepal
2. Sogok Terlentang
3. Sogok Tertangkup
4. Siku Dua
5. Sogok Bawah Terlentang
6. Sogok Bawah Tertangkup
7. Setir/ Sogok Satu
8. Kewal Tahan
9. Lewatan
10. Tendet/ Cincang
11. Siku Satu
12. Giles perut
13. Pites/ Tekan
14. Kendor
15. Buka Sogok
16. Sogok Atas Bawah
17. Seperempat Alif @ Ibu Jurus

Wallahu A’lam…